SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

PSSKU CEMERLANG, SEKOLAHKU GEMILANG....PSS SK NURI MENYEMAI DAN MENYUBURKAN ILMU DI MANA JUA ANDA BERADA.

KALAM PENTADBIR SEKOLAH: PN HJH. HAMIJAH BT HASSIM

Assalamualaikum w.b.t… Pusat Sumber merupakan nadi sesebuah sekolah yang berperanan membantu semua murid & semua guru menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar tidak hanya bergantung kepada buku teks dan kaedah tradisional sahaja di zaman era digital kini dengan perkembangan Literasi Maklumat yang begitu meluas. Perkembangan Literasi Maklumat ini bukan saja di dalam bilik darjah tetapi di empat penjuru kawasan sekolah selaras dengan keperluan NKRA dan KPM. Akhir kalam, semoga semua pihak yang melayari blog ini akan memperolehi info perkembangan terkini PSS SK Nuri dan perkongsian ilmu.TAHNIAH! kerana berjaya menjadi Johan Pusat Sumber Cemerlang Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2009, 2010 dan 2011 . Semoga Pusat Sumber SK Nuri terus melakar kegemilangannya. Sekian, wassalam .

Isnin, Oktober 26, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 55 : PERTABALAN TUANKU MUHRIZ IBNI AL MARHUM TUANKU MUNAWIR


Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!


Di atas pertabalan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11


Pemerintah-pemerintah Negeri Sembilan


Istiadat bersiram lakar sejarah


SERI MENANTI – Istiadat bersiram Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berlangsung dengan penuh tradisi di Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, semalam.

Istiadat terpenting keseluruhan proses pertabalan Yang di-Pertuan Besar itu diadakan selepas istiadat menurunkan dan memasang alat kebesaran diraja di halaman Istana Besar Seri Menanti, Khamis lalu.

Kira-kira 5,000 orang termasuk rakyat jelata turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah itu, semalam.

Istiadat bersiram bermula 10.35 pagi apabila Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak sejauh kira-kira 500 meter dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, sambil disusuli lapan das tembakan meriam.

Perarakan Takhta Rencana yang ditarik Pegawai 99 itu didahului kumpulan Rebana, diikuti pembawa alat kebesaran diraja, pembawa Cepu Bedak Limau.

Turut mengiringi adalah dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, serta kerabat diraja.

Sebaik saja baginda berdua bersemayam di Panca Persada, Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau selepas mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali.

Selesai pusingan terakhir, Datuk Seri Amar Diraja, Ahmad Minal menyembahkan Cepu Bedak Limau untuk istiadat bersiram dan Tuanku Muhriz kemudian mencelup kedua belah tangan baginda ke dalam Cepu Bedak Limau itu.

Datuk Seri Amar Diraja kemudian meletakkan semula Cepu Bedak Limau dan menjunjung duli kepada Tuanku Aishah Rohani.

Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan iaitu pencak silat, tarian piring dan muzik tradisional cak lempong lagu ‘Raja Bersiram’.

Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad sebelum baginda berdua bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

Istiadat bersiram selesai kira-kira 12 tengah hari diakhiri majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Istana Besar Seri Menanti.

Rakyat jelata turut menikmati hidangan tengah hari di dua tempat berasingan iaitu di kawasan lapang berhampiran Istana Tasek dan padang Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir, di sini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; anggota Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat rakyat serta ketua-ketua jabatan.

Hari ini, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 akan berlangsung dengan penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, disempurnakan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak selaku imam Undang Yang Empat.

Sabtu, Oktober 24, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 54 : LOGO BARU PPD KUALA PILAH




Inilah rupa logo Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah yang terkini yang diperolehi daripada web. Namun penerangan logo ini masih belum dikenalpasti. Apa yang nyata tersurat kebanyakkan logo Pejabat Pelajaran Daerah yang terdapat di daerah-daerah lain turut menggunakan logo yang sama. Insyallah kita tunggu hebahan daripada warga PPD KP membuat makluman berkenaan pertukaran logo terbaru ini dan apa yang tersirat di sebalik pemilihan lambang-lambang yang terdapat pada logo baru ini.

Jom kita imbas semula maksud yang tersirat pada lambang-lambang yang terdapat pada logo lama PPD Kuala Pilah ini.


KETERANGAN LOGO

1. Bentuk Atap
- Pelindung atau sebagai penaung perjalanan proses
Pengajaran dan Pembelajaran
2. Mata Pena
- Berfokus sebagai alat untuk merakamkan maklumat
atau data pendidikan di daerah Kuala Pilah
3. Buku
- Melambangkan kesucian ilmu yang diamalkan secara
berterusan
4. Rehal / Tapak Buku
- Melambangkan fungsi warga pendidik yang mendukung
ilmu secara berterusan
5. Huruf PPD KP
- Singkatan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah
6. Maksud warna
a. Biru - harmoni, mesra dan kasih sayang
b. Kuning - Kental dan kuat
c. Hitam - Mendukung cita-cita
d. Merah - Bersemangat tinggi
7. Rumusan Maksud Logo
- Pejabat Pelajaran Kuala Pilah berfungsi sebagai penaung atau pelindung kepada perkembangan pendidikan di daerah Kuala Pilah, mempastikan kesucian ilmu yang diamalkan secara berterusan oleh warga pendidik yang mempunyai semangat dan kekuatan yang kental dan sentiasa mengamalkan Falsafah Pendidikan Negara.








Isnin, Oktober 19, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 53 - Hari Malaysia diisytihar sebagai cuti umum mulai tahun depan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. - Bernama

Jumaat, Oktober 16, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 52 : Bulan Oktober ini adalah Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat sekolah.

Bulan Oktober ini adalah Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat sekolah. Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang bulan ini. Lagu Bahasa Jiwa Bangsa dinyanyikan pada setiap hari Selasa sepanjang bulan Oktober.


LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa
Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Khamis, Oktober 15, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 51 - Pentarafan PSS

TAHNIAH ! TAHNIAH ! Kepada semua warga SK Nuri khasnya warga kerja PSS di atas pencalonan PKG Johol untuk Penarafan PSS.
Oleh itu, pada 12 Oktober 2009 yang lalu En Mohd Fadzil B Abd Razak daripada PSPN, Port Dickson telah datang memantau PSS dan Unit-unit di bawah Rangkaian PSS SK Nuri.
Beliau telah memantau bilik-bilik khas seperti Unit SAL, Unit BBM, Unit Audio Visual,Pusat Akses, Bilik PPSMI 2 dan Makmal Komputer. Selain itu, beliau turut melihat taman-taman informasi seperti Taman Sains Ibnu Sina, Balai Agama dan Taman Herba.
Disamping itu, beliau turut melihat tapak projek mega PSS yang terletak di dalam Galeri Sejarah.
Sebelum beliau menyudahkan pemantauan tersebut beliau mengucapkan tahniah dan amat berharap agar apa jua aktiviti yang telah dan sedang PSS jalankan akan diteruskan.

Pintu masuk PSS SK Nuri menyambut kehadiran En Mohd Fadzil dari BTPN Negeri Sembilan.

En Mohd Fadzil di Galeri Sejarah

Pn Hjh Hamijah selaku GPK 1 sedang mengiringi En Mohd Fadzil ketika memantau PSS SK Nuri
Pn Nor Hayati yang merupakan GPM SK Nuri sedang menerima respon pemantauan daripada En Mohd Fadzil dan turut disertai oleh Pn Hjh Hamijah dan En Mohd Kamal Abd Rahman iaitu GPK HEM SK Nuri.

*Warga kerja PSS SK Nuri mengucapkan terima kasih kepada semua warga SK Nuri yang terlibat secara langsung atau tidak dalam Penarafan PSS ini.

Ahad, Oktober 11, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 50 - Konsep 1Malaysia jadi teras ekonomi negara



TANJUNG RAMBUTAN – Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang akan dijadikan teras utama dalam pembentukan model ekonomi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang wawasan 2020.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kepelbagaian masyarakat di Malaysia adalah aset utama sebagai pemangkin untuk melonjakkan negara mencapai tahap itu lebih awal dari yang disasarkan.

Beliau berkata, konsep yang berpaksikan kepada kepelbagaian penduduk Malaysia mampu menjadi ramuan terbaik untuk menggariskan hala tuju ekonomi negara dalam proses transformasi.

“Model ekonomi kita berbeza dengan model ekonomi yang dilaksanakan negara-negara maju kerana kita mempunyai kepelbagaian kaum yang menuntut model berkenaan kepada perkiraan asas kemajmukan masyarakat.

“Konsep ini adalah antara asas penting yang menjadikan beberapa konglomerat negara seperti Petronas, Malaysia Airline Holdings dan Telekom Malaysia mampu menyesuaikan diri serta sekali gus bersaing dengan syarikat antarabangsa di negara maju lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 300 orang miskin India kawasan Ulu Kinta di Dewan Kuil Maha Mariamman, di sini, semalam.

Husni berkata, kepelbagaian ini akan menjadi aset utama negara untuk melahirkan syarikat tempatan bertaraf juara bukan sahaja di rantau Asean malah di Asia dan dan dunia.

Menurutnya, perlaksanaan itu juga dijangka dapat mewujudkan pendapatan baru perkapita rakyat negara ini supaya lebih bersesuaian dengan matlamat negara berpendapatan tinggi selaras dengan langkah transformasi ekonomi yang sedang dijalankan sekarang.

“Bajet 2010 yang akan dibentangkan Perdana Menteri 23 Oktober ini juga akan berpaksikan kepada konsep 1Malaysia sebagai hala tuju masa depan ekonomi negara dengan mengutamakan pembasmian kemiskinan di bandar dan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mesyuarat bersama Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menyaksikan badan kewangan dunia itu meramalkan terdapat tanda-tanda positif pemulihan ekonomi global lebih awal seperti yang dijangkakan Julai lalu.

Sabtu, Oktober 10, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 49 - PERSEDIAAN PENARAFAN PSS

TAHNIAH! Kepada semua warga SK Nuri khasnya warga kerja PSS kerana telah dipilih oleh PKG Johol untuk mewakili PKG Johol. Oleh itu, pentarafan oleh pegawai-pegawai dari BTPNS akan diadakan pada 12 Oktober 2009 nanti. Pemantauan tersebut lebih merupakan pemantauan susulan selepas pengredan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai PKG Johol yang lalu.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada PKG Johol di atas kepercayaan tersebut.
Oleh yang demikian, walaupun persediaan awal telahpun bermula dari awal tahun dulu tetapi warga kerja PSS SK Nuri perlu mempertingkatkan lagi mutu prasarana dan pendokumentasian agar tidak menghampakan hasrat PKG Johol.
Oleh itu, pada pagi 10 Oktober 2009 bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari ,pengawas-pengawas PSS dan pengawas percubaan telah bergotong-royong untuk mempertingkatkan lagi persediaan untuk pemantauan pentarafan tersebut.
Lihatlah semangat gotong-royong 'Saya Sayangkan PSS' yang telah ditunjukkan oleh pengawas-pengawas PSS ini untuk keceriaan fizikal luaran PSS...


Pengawas PSS dan pengawas PSS Tahun Lima yang dalam Percubaan melukis mural di depan pintu masuk PSS
Wakil Pengawas PSS Tahun Tiga sedang menyusun buku-buku di rak mengikut nombor panggilan.
Pengawas PSS dan pengawas percubaan yang ingin meninggalkan bekas tangan di tembok depan PSS.
Masih sempat beraksi di depan lensa kamera walaupun kawan sebelah sedang tekun mewarna mural
Wakil Pengawas PSS Tahun Enam,adik Puteri Zahidah sedang membuat automasi buku baru
Pengawas PSS percubaan dari TahunTiga sedang dibimbing oleh adik Azhar yang merupakan Pengawas PSS Tahun Empat untuk meletakkan barkod pada buku-buku.
Pengawas-pengawas PSS -percubaan dari Tahun Dua sedang membuat Proses Teknik untuk buku- Seronoknya diberi peluang mengecop di dalam buku-buku baru.
'Orang gagah' PSS adik Rusdi dan Izaidi sedang tekun memasang 'skirting' di meja Ruang Kerja dalam Bilik BBM


Lihatlah hasil tangan Cikgu Hasrinah dengan murid-muridnya di tembok masuk PSS.
Inilah hasil mural Pengawas PSS Tahun Empat dan Lima di tembok depan pintu masuk PSS.
Ini merupakan pandangan pintu masuk PSS dari luar .
GPM PSS SK Nuri iaitu Cikgu Yati turut tidak mahu ketinggalan 'menconteng' dinding luar PSS yang dijadikan 'pintu gerbang' sementara ke PSS.

******TERIMA KASIH SEMUA....CIKGU SAYANG KAMU*****

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 48- JAMUAN PERPISAHAN

Pada 7 Oktober 2009 yang lalu Kelab Staf SK Nuri dengan kerjasama PIBG SK Nuri telah berjaya mengadakan Majlis Perpisahan khas untuk Pn Azizah Ab Manan iaitu mantan guru besar SK Nuri,En Mohd Nasir Mustafa pula ialah mantan GPK Ko Ku dan Pn Nor Hafizah Abd Hamid yang merupakan bekas guru J Qaf SK Nuri . Sayangnya, hanya Pn Nor Hafizah sahaja yang tidak berkesempatan untuk hadir ke majlis ini kerana kini berkhidmat di Perak.
Majlis ini telah diadakan di Desa Inn Hotel,Kuala Pilah . Simboliknya majlis ini ianya bukan sahaja diraikan oleh kesemua warga SK Nuri yang terdiri daripada guru-guru,kakitangan sokongan, pekerja-pekerja swasta dan pengawal keselamatan,bahkan turut diraikan oleh wakil-wakil AJK PIBG dan pegawai-pegawai dari PPD Kuala Pilah turut hadir ke majilis ini.
Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkesempatan hadir khasnya kepada Tn Hj Mohd Kadzri iaitu GB baru SK Nuri yang sebenarnya sedang bercuti , Tn Hj Mat Rohani B. Kamar yang merupakan Pengarah Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah dan Tn Hj Zawawi B Hassan yang juga merupakan pegawai PP Kuala Pilah untuk meraikan Pn Azizah Ab Manan dan En Mohd Nasir yang telah banyak menabur jasa kepada SK Nuri... Semoga hubungan kita tidak terhenti setakat di sini sahaja dan semoga kita akan dapat berkongsi ilmu dan pengalaman pada masa akan datang.
Berikut ialah gambar-gambar sekitar majlis tersebut........

Majlis pasti kurang diberkati tanpa bacaan doa...Uztaz Mohd Rosdi pembaca doa

Tn Hj Mat Rohani B Kamar turut berkesempatan berucap di majlis ini.
Tn Hj Mohd Kadzri Hj Ibrahim turut berucap dalam majlis ini.


Ucapan dari wakil guru iaitu Cikgu Kamal yang merupakan GPK HEM...ada bakat
terpendam rupanya

Ucapan amanat perpisahan daripada Pn Azizah Ab Manan
Kata-kata ucapan perpisahan daripada Cikgu Mohd Nasir

Tanda hati dari YDP PIBG untuk Pn AzizahCenderahati daripada YDP PIBG En Shaharudin untuk Cikgu Mohd Nasir



Guru-guru mengambil kesempatan bergambar dengan Pn Azizah

Pengerusi Kelab Guru iaitu Pn Suriyati sedang bergambar dengan Pn Azizah

Pn Noraini guru wakil Kelab Doktor Muda bergambar bersama Pn Azizah
Tanda hati dari wakil guru Pra sekolah iaitu Pn Hartina untuk Pn Azizah
Tanda hati dari wakil pekerja swasta iaitu En Ujang untuk Pn Azizah
Tanda hati dari pengusaha kantin sekolah iaitu En Ishak untuk Pn Azizah
Tanda hati dari wakil kakitangan sokongan iaitu Pn Maslina untuk Pn Azizah

Penulis blog ini juga tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan bersama
Pn Azizah....terima kasih cikgu

Khamis, Oktober 08, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 47- JAMUAN KANTIN TERBUKA


<-- En Ishak-pengusaha kantin SK Nuri


Warga SK Nuri memang selalu murah rezeki,pada 08 September yang lalu pengusaha kantin SK Nuri telah mengadakan jamuan kantin terbuka beliau kepada semua warga SK Nuri sempena Hari Raya Aidil Fitri. Pelbagai hidangan yang menyekat keinginan kami untuk berdiet telah dihidangkan.Siapa yang dapat menahan selera bila melihat juadah lemang,rendang,kuah kacang dan yang paling istimewanya nasi dagang.
Kepada pasangan suami isteri iaitu En Ishak dan Pn Hamidah yang merupakan pengusaha kantin SK Nuri , warga SK Nuri mengucapkan terima kasih daun keladi,lain kali faham-faham la sendiri ye...


<-- Jangan tak percaya....jamuan kantin siap backdrop lagi....canggih...hehehe

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 46- PERKONGSIAN ILMU DAN INFO KALI PERTAMA


Pada 07 Oktober 2009 buat pertama kalinya warga SK Nuri membuat perjumpaan dan perkogsian ilmu secara rasmi dengan guru besar baru iaitu Tn Hj Kadzri Hj Ibrahim melalui Mesyuarat Guru Kali Keempat.
Melalui perjumpaan yang lebih merupakan sesi perkenalan di antara guru besar dan guru-guru ini, Tn Hj Kadzri telah sempat berkongsi perkhidmatan pendidikannya.Disamping itu, beliau turut menyampaikan amanat beliau agar seluruh warga SK Nuri selalu ingat akan 4 perkara iaitu betulkan naiwaitu kita bekerja,berbaik sangka,jangan putus hubungan dengan Allah dan sentiasa menghormati mak ayah kita.Beliau turut melahirkan harapan beliau agar kejayaan yang telah terbina akan kekal dan bertambah meningkat pada masa kan datang.




Di dalam perjumpaan ini juga warga pendidik SK Nuri juga bertuah kerana dikunjungi oleh Tn Hj Hamzah Abu iaitu Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,JPNS yang kebetulan sedang membuat pemantauan. Beliau telah mengucapkan tahniah di atas pelbagai kejayaan yang telah diraih oleh sekolah dan berharap warga pendidik khasnya akan melonjakkan lagi kecemerlangan tersebut.Beliau turut memberi tips atau rahsia kejayaan sesebuah organisasi iaitu MIC- M(management), I (improve) dan C (change). Akhir kata beliau mendoakan SK Nuri akan terus maju jaya.

Selasa, Oktober 06, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 45- PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


Patah tumbuh hilang berganti....kini warga SK Nuri telah pun mendapat pengganti Pn Azizah Ab Manan mantan guru besar SK Nuri yang telah berhijrah ke SK Tampin.
Pengganti tersebut ialah Tn Hj Mohd Kadzri B Hj Ibrahim . Menurut Tn Hj Mohd Kadzri ,SK Nuri merupakan sekolah rendah yang ketiga beliau berkhidmat sebagai guru besar.Sebelum ini beliau pernah menerajui SK Datuk Abdullah,Gemencheh dan SK Salak Nama ,Rembau. Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru di SM Tunku Besar Tampin dan kemudiannya memikul tanggungjawab sebagai salah seorang daripada pegawai di PPD Tampin.
Warga SK Nuri keseluruhannya mengalu-alukan kedatangan Tn Hj Kadzri Ibrahim ke SK Nuri.Semoga dengan kehadiran beliau SK Nuri akan terus cemerlang di dalam pelbagai aspek di bawah tampuk kepimpinan beliau.

Khamis, Oktober 01, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 44- PENGHIJRAHAN MANTAN GURU BESAR SK NURI






Hari ini terpalit dalam sejarah sekolah satu lagi peristiwa yang meninggalkan kesan di seluruh sanubari warga SK Nuri. Hari ini merupakan tarikh terakhir PN AZIZAH AB MANAN berkhidmat di SK Nuri kerana akan berhijrah ke SK Tampin atas kehendak tanggungjawab yang diamanahkan oleh JPNS kepada beliau.
Penghijrahan beliau merupakan kehilangan SK Nuri akan seorang guru besar yang berkaliber dan berkomitmen yang tinggi pada tanggungjawabnya pada kecemerlangan sekolah.
Terlalu banyak perkongsian ilmu dan pengalaman hidup beliau yang telah beliau titipkan pada semua warga SK Nuri.
Semoga penghijrahan ini akan memberi lebih manfaat kepada beliau serta semoga beliau akan terus cemerlang pada masa akan datang.
Kepada Pn Azizah Ab Manan kami seluruh warga SK Nuri memohon maaf andaikata ada perbuatan dan tuturkata yang menguris hati cikgu.Tiada kata yang dapat kami berikan pada cikgu,terimalah pantun ini sebagai tanda kenang-kenangan daripada kami.

Pucuk pauh delima batu.
Anak sembilang di tapak tangan,
Sungguh jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails