
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kepelbagaian masyarakat di Malaysia adalah aset utama sebagai pemangkin untuk melonjakkan negara mencapai tahap itu lebih awal dari yang disasarkan.
Beliau berkata, konsep yang berpaksikan kepada kepelbagaian penduduk Malaysia mampu menjadi ramuan terbaik untuk menggariskan hala tuju ekonomi negara dalam proses transformasi.
“Model ekonomi kita berbeza dengan model ekonomi yang dilaksanakan negara-negara maju kerana kita mempunyai kepelbagaian kaum yang menuntut model berkenaan kepada perkiraan asas kemajmukan masyarakat.
“Konsep ini adalah antara asas penting yang menjadikan beberapa konglomerat negara seperti Petronas, Malaysia Airline Holdings dan Telekom Malaysia mampu menyesuaikan diri serta sekali gus bersaing dengan syarikat antarabangsa di negara maju lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 300 orang miskin India kawasan Ulu Kinta di Dewan Kuil Maha Mariamman, di sini, semalam.
Husni berkata, kepelbagaian ini akan menjadi aset utama negara untuk melahirkan syarikat tempatan bertaraf juara bukan sahaja di rantau Asean malah di Asia dan dan dunia.
Menurutnya, perlaksanaan itu juga dijangka dapat mewujudkan pendapatan baru perkapita rakyat negara ini supaya lebih bersesuaian dengan matlamat negara berpendapatan tinggi selaras dengan langkah transformasi ekonomi yang sedang dijalankan sekarang.
“Bajet 2010 yang akan dibentangkan Perdana Menteri 23 Oktober ini juga akan berpaksikan kepada konsep 1Malaysia sebagai hala tuju masa depan ekonomi negara dengan mengutamakan pembasmian kemiskinan di bandar dan luar bandar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mesyuarat bersama Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menyaksikan badan kewangan dunia itu meramalkan terdapat tanda-tanda positif pemulihan ekonomi global lebih awal seperti yang dijangkakan Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan