SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

PSSKU CEMERLANG, SEKOLAHKU GEMILANG....PSS SK NURI MENYEMAI DAN MENYUBURKAN ILMU DI MANA JUA ANDA BERADA.

KALAM PENTADBIR SEKOLAH: PN HJH. HAMIJAH BT HASSIM

Assalamualaikum w.b.t… Pusat Sumber merupakan nadi sesebuah sekolah yang berperanan membantu semua murid & semua guru menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar tidak hanya bergantung kepada buku teks dan kaedah tradisional sahaja di zaman era digital kini dengan perkembangan Literasi Maklumat yang begitu meluas. Perkembangan Literasi Maklumat ini bukan saja di dalam bilik darjah tetapi di empat penjuru kawasan sekolah selaras dengan keperluan NKRA dan KPM. Akhir kalam, semoga semua pihak yang melayari blog ini akan memperolehi info perkembangan terkini PSS SK Nuri dan perkongsian ilmu.TAHNIAH! kerana berjaya menjadi Johan Pusat Sumber Cemerlang Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2009, 2010 dan 2011 . Semoga Pusat Sumber SK Nuri terus melakar kegemilangannya. Sekian, wassalam .

Isnin, Ogos 31, 2009

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 30 : Tunku bertaruh nyawa tuntut kemerdekaan



Mungkin ramai tidak tahu mengenai keberanian perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj mempertaruh nyawanya ketika beliau sibuk berkempen untuk menuntut kemerdekaan negara.

Menurut anak lelaki tunggalnya, Tunku Datuk Seri Ahmad Nerang Putra, kebanyakan orang Inggeris tidak menyukai bapanya, kerana kelantangan Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan negara. Almarhum Tunku Abdul Rahman menceritakan kepada anaknya mengenai satu insiden pada tahun 1954 yang membawa kebimbangan mengenai keselamatan nyawanya.

Ketika itu Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai anggota Majlis Undangan Persekutuan dan memegang portfolio Hal Ehwal Pengangkutan. Dalam satu tugas rasminya Tunku Abdul Rahman terpaksa membuat rondaan udara dan beliau berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur Flying Club.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila melihat hanya satu beg payung terjun disediakan di dalam pesawat Beaver itu sedangkan mereka dua orang, Tunku Abdul Rahman dan juru terbang tentera British itu.

Katanya, ketika di dalam penerbangan, juru terbang itu secara serius bertanyakan banyak soalan mengenai kedudukan British di Malaya selepas kemerdekaan dan mahu Tunku Abdul Rahman memberi jaminan tidak akan mengusir semua orang British di Malaya.

“Tunku (Abdul Rahman) menjawab dengan bijak dan memberi jaminan bahawa Malaya masih memerlukan tentera British, walaupun selepas merdeka, terutama untuk mengatasi masalah komunis dan jaminan Tunku telah menenangkan juru terbang British itu,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Beliau berkata, selepas pesawat itu selamat mendarat, Tunku Abdul Rahman memberitahunya ada kemungkinan juru terbang itu keluar dari pesawat dengan payung terjun dan membiarkan bekas perdana menteri itu di dalamnya, sebelum terjunam jika almarhum tidak memberikan jaminan yang diminta.

Tunku Ahmad Nerang yang kini berusia 76 tahun, dan menetap di Kuala Lumpur, menceritakan satu peristiwa lagi ketika beliau menjadi pemandu Tunku Abdul Rahman untuk berkempen dan bertemu rakyat di kawasan merah iaitu di Tanjung Malim Perak, Kuala Kubu Bharu di Selangor dan Raub di Pahang pada tahun 1954.

Katanya, almarhum duduk di sebelahnya, sementara di belakang mereka ialah Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. “Jalan raya ketika itu sangat sempit dan beberapa buah kereta perisai menyertai rombongan bagi mengawal keselamatan dan saya memandu begitu dekat mengekori kereta perisai di hadapan,” kata beliau.

Setibanya di sebuah rumah rehat di Raub, seorang pegawai polis menemui mereka dan memberitahu Tunku Ahmad Nerang bahawa adalah berbahaya bagi mereka jika memandu terlalu hampir dengan kereta perisai.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya ketika itu terus menjawab: “Saya tidak perlukan kawalan, mereka yang di belakang saya (Khir Johari dan Jaafar Albar) sudah memadai.”

Selepas menyambung semula perjalanan, Tunku Abdul Rahman memberitahu mereka yang di dalam kereta itu bahawa beliau telah menerima surat daripada Chin Peng (pemimpin Parti Komunis Malaya) yang memberi jaminan keselamatannya dan menyokong perjuangan beliau untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Tunku Abdul Rahman malah pernah meminta supaya polis dan tentera British tidak mengawal keselamatannya semasa beliau berkempen ke kawasan komunis di Johor, kerana bimbang kehadiran polis ketika beliau memasuki kawasan-kawasan merah, boleh mengancam nyawanya.

Tunku Ahmad Nerang berkata, sebagai membalas jaminan keselamatan itu, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan pula terhadap keselamatan Chin Peng ketika rundingan Baling tahun 1956.

Ketika zaman prakemerdekaan, menaiki kereta api adalah berbahaya, tetapi ini tidak menakutkan Tunku Abdul Rahman.

Tunku Ahmad Nerang menceritakan bagaimana semasa beliau menemani bapanya untuk berkempen dan bermesyuarat dengan menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Butterworth, berlaku satu peristiwa yang mencemaskan.

“Kereta api kami terpaksa berhenti di stesen Jalan Tapah kerana landasan kereta api di Tanjung Malim telah disabotaj komunis dan disebabkan itu kami terpaksa bermalam di dalam kereta api,” kata beliau.

Keesokan paginya barulah mereka sedar bahawa kereta api yang mereka naiki membawa ramai tentera British dan kereta api itu hampir diserang komunis. Tunku Abdul Rahman menerima sepucuk surat daripada Chin Peng yang memohon maaf atas kesukaran yang berlaku kerana tidak tahu beliau berada di dalam kereta api itu.

Kerana terlalu sibuk bekerja siang dan malam, Tunku Abdul Rahman diserang sakit paru-paru (pneumonia) dan mendapatkan rawatan di Hospital Bangsar di Kuala Lumpur.

“Satu peristiwa saya saksikan di hadapan mata ialah seorang jururawat kacukan Inggeris memberi suntikan kepada Tunku dan kemudian jururawat itu tergesa-gesa keluar, membiarkan sahaja jarum suntikan itu tercacak di punggung Tunku.

“Syukurlah Tunku sendiri mengeluarkan jarum itu dari punggungnya dan kami terus beredar. Begitulah Tunku tidak popular dalam kalangan orang Inggeris kerana kelantangannya menuntut kemerdekaan negara,” kata beliau.

Bagaimanapun, doktor yang merawat Tunku Abdul Rahman ialah rakyat tempatan, bernama Dr Latiff dan satu daripada jalan di Hospital Kuala Lumpur itu dinamakan Persiaran Dr Latiff.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya bekerja dan berkempen tanpa mengira hujan dan panas. Dalam satu peristiwa, kereta Tunku Abdul Rahman terbenam di dalam lumpur, kerana banjir di Johor Baharu pada tahun 1954.

“Ketika itu terdapat budak-budak Melayu yang bersedia untuk menolak kereta dan meminta upah. Tunku memberi upah satu ringgit tetapi apabila mereka mengetahui kereta yang ditolak itu dinaiki Tunku, mereka tidak mahu mengambil upah,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Dua buah kereta lain yang terbenam dan dinaiki Syed Esa Almashoor dan Syed Abdullah Alsagoff, turut ditolak oleh kanak-kanak itu, dan mereka dikenakan bayaran 20 sen setiap seorang. Begitu juga peristiwa ketika Tunku Abdul Rahman hendak bertemu rakyat dalam kempen menuntut kemerdekaan di Kangar pada tahun yang sama.

“Ketika kami hendak keluar dari rumah di Alor Setar, hujan turun dengan begitu lebat dan sebaik saja hujan reda, saya memandu kereta agak laju di jalan yang basah kerana Tunku tidak suka orang menunggu lama kehadirannya.

“Kereta kami terbabas dan memasuki longkang di hadapan Kem Askar Melayu di Kepala Batas. Pengawal tentera di situ mengecam Tunku, dan meminta rakan tenteranya membantu menaikkan semula kereta, selepas itu kami meneruskan perjalanan dengan kereta yang rosak teruk,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Pada satu hari dalam tahun 1955 di Johor, Tunku Ahmad Nerang membawa bapanya berkempen seharian dari Johor Baharu ke Muar dan ke Batu Pahat, menemui orang dari kampung ke kampung, menaiki feri, melintasi sungai. Mereka berdua tiba di rumah di Johor Baharu pada lewat tengah malam dalam keadaan terlalu letih dan kelaparan kerana tidak makan.

“Kami berdua terlalu letih dan lapar dan setiba di rumah tiada makanan pula kerana semua orang dalam rumah telah tidur. Saya terjumpa sebiji telur di dalam peti sejuk dan kemudian merebus telur itu.

“Saya mengetuk pintu bilik Tunku dan bertanya adakah beliau mahu makan telur rebus itu, tetapi dengan linangan air mata, Tunku memegang kepala saya dan menyuruh saya memakannya,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Katanya, selepas beberapa hari kemudian, beliau berlepas ke Bombay, India bagi melanjutkan pengajian di Indian Military College. “Apabila saya tiba di Bombay, saya terbaca akhbar Indian Times mengenai kemenangan Parti Perikatan di Malaya dan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya,” kata Tunku Ahmad Nerang. - Bernama

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 29 : Hishammuddin beri amaran usah bertindak luar batas



SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil sebarang tindakan di luar batas.. » selanjutnya

Ahad, Ogos 30, 2009

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 28 : AL- FATIHAH DAN SALAM TAKZIAH

Detik 12 tengah malam semalam merupakan detik kebanyakan umat manusia sedang lena tidur diulit mimpi.
Namun ....dalam masa yang sama itu juga, ianya merupakan detik yang paling sebak dan pilu buat keluarga Puan Azizah Ab Manan yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nuri. Pada detik itu, suami beliau iaitu Cikgu Nasir telah kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung. Kami warga SK Nuri turut terasa pilu hati dan perasaan di atas pemergian allahyarham yang secara mengejut.
Ucapan TAKZIAH untuk Puan Azizah dan keluarga di atas pemergian suami tercinta. Semoga Allahyarhamah dicucuri rahmat dari Allah. Semoga dipermudahkan perjalanan roh menempuhi malam pertama di alam yang baru dan semoga mendapat barakah di bulan Ramadhan yang mulia ini.Amin..

Buat Puan Azizah dan anak-anak serta keluarga... semoga tabah menghadapi dugaan dan takdir Allah.

Marilah sama2-sama sedekahkan Al-Fatihah atau bacaan yassin pada Allahyarham.



Sabtu, Ogos 29, 2009

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 27 : Pos Malaysia keluar setem 1Malaysia sempena merdeka

Pos Malaysia akan mengeluarkan setem khas dan sampul surat Hari Pertama yang menampilkan konsep 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-52, bermula Isnin ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, koleksi setem itu memaparkan tiga reka bentuk berkaitan konsep 1Malaysia. Setem-setem itu dan sampul surat Hari Pertama yang berharga 30 sen boleh didapati di pejabat-pejabat pos seluruh negara manakala folder yang berharga RM5.50 boleh didapati di pejabat pos yang terpilih sahaja, katanya di Galeri Setem, Kuala Lumpur di sini.

Yasmin berkata, pengumpul setem juga digalakkan untuk mendaftar sebagai anggota SODA (Akaun Deposit Arahan Tetap) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran.

“Sempena sambutan merdeka, mereka (anggota SODA) akan diberikan setem dan sampul surat Hari Pertama 1Malaysia pada 31 Ogos ini yang mempunyai cap tarikh dengan tulisan 'Pasar Seni' yang boleh didapati di Pasar Seni,” katanya.

Orang ramai yang bukan anggota SODA juga boleh mendapatkan setem dan sampul surat berkenaan di situ pada hari berkenaan (31 Ogos).

Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar berkata pembelian setem dan sampul surat hari pertama itu sebagai satu cara meluahkan rasa bangga atas pencapaian negara serta disimpan sebagai kenangan dan dikongsi bersama dengan generasi masa depan. Ia juga sebagai satu penghormatan terhadap aspirasi negara serta meraikan kecemerlangan yang telah dikecapi,” katanya dalam satu kenyataan semalam. - Bernama

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 26 : Adab berpuasa dan solat terawih

Satu perkongsian ilmu : Adab berpuasa dan solat terawih


Oleh NAZMI AIDARUS

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 25 : Korban wabak selesema babi kekal 71 orang

KUALA LUMPUR: Tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes korban wabak itu di negara ini kekal 71 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican. [berita selanjutnya....]

Khamis, Ogos 27, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 21 : FADHILAT SOLAT TERAWIH MALAM KEENAM

Malam 6:

Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Rabu, Ogos 26, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 20 : KEHADIRAN RAMADHAN AL MUBARAK

SATU PERKONGSIAN ILMU : MARI KITA SINGKAP YANG TERSIRAT DI SEBALIK KEHADIRAN RAMADHAN AL MUBARAK YANG SAYA PETIK DARI BLOG DARUSSIFA':

APAKAH DOA YANG PALING UTAMA DI BULAN RAMADAN DAN SIAPAKAH DIA UWAIS AL-QARNI?


Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt;

Surah Al-Baqarah:183

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya dengan berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?

Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.


Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang ramadan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis Ramadan dosa dia tidak terampun.

Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab “Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah

Doa Paling Afdal Dibulan Ramadan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa?. Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.

Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa sepanjang malam sampai ke subuh dengan doa yang nabi ajarkan iaitu “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni.

Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..

Asal usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran, Nabi Isa Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak dizamannya.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Doa yang paling utama di malam Qadar

Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.

Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali.

Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.

Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.

Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan “Ghoforollah hu mat taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang.

Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu “Astagh firruka humma waatubu ilaih”. Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur”.

Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak baik).

Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain.

Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik.

Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.

Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih.

Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau.

Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;

Doa Paling Afdal di Bulan Ramadhan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa, dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.

“Ya ‘ajaban”, memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia tidak manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.

Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati.

Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.

Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati.

Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa.

Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa”.

Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu Umar (bapa mertuanya) dan Ali (menantunya) kalau kamu berjumpa dengan Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala dosa kamu. Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.

Penutup

Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa’, kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta ampun yang berbaki daripadanya.

Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah dibulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di Mekah di bulan Ramadan. Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir, dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah, kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana..

Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt.

Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan majlis malam ini Darussyifa’ dan kita mengharapkan kepada Allah swt. agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah swt.


Selasa, Ogos 25, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 19 : FADHILAT SOLAT TERAWIH - MALAM KELIMA




Malam 5:

Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.


Mari kita renungkan apa yang tersirat di sebalik ketiga-tiga masjid yang mendapat pengiktirafan dan menjadi pilhan utama Allah.

Isnin, Ogos 24, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 18 : FADHILAT SOLAT TERAWIH - MALAM KETIGA DAN KEEMPAT



Malam 3
Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4
Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang me
mbaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Cuba kita intai maksud yang tersirat di sebalik janji Allah ini.

Ahad, Ogos 23, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 17 : FADHILAT SOLAT TERAWIH - MALAM KEDUA



Malam 2:

Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).



* Jom kita renungkan fadhilat yang tersirat di sebalik solat terawih kita malam ini....ALLAH MAHA MENGETAHUI

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 16 : BAZAAR RAMADHAN

Semalam telah bermulalah agenda yang paling penting dalam diari bulan yang bernama Ramadhan. Agenda tersebut ialah 'menziarahi' bazaar Ramadhan tidak kira di mana jua,dekat mahupun jauh dari kediaman kita pasti kita akan mencari peluang untuk 'menziarahi' tempat ini.
Pelbagai juadah dijual di sini,kalau diikutkan hati mahu semua juadah tersebut hendak dibelikan. Betul tak? Walaubagaimanapun....dalam masa yang sama kita mestilah bijak mengawal kehendak hati.Agar tiada pembaziran makanan yang tidak mampu dimakan dan sekaligus pembaziran wang berlaku.
Jadi...renungkan 'muslihat' dan hikmah yang tersirat di sebalik kewujudan bazaar Ramadhan.
Jangan lupa gunakan 'penutup mulut' jika perlu semasa anda 'menziarahi' bazaar Ramadhan ini. Kebersihan tetap menjadi keutamaan.

Sabtu, Ogos 22, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 15 : DIBERI LAGI PELUANG BERPUASA DI BULAN RAMADHAN


Renungkan hikmah yang tersirat jika kita berpuasa di bulan Ramdhan ini dan untuk agaknya kita diberi peluang sekali lagi untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini? Bersyukurlah kerana kita masih menjadi pilhan Allah untuk menikmati semua itu.

Jumaat, Ogos 21, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 14 : SELAMAT MENDUDUKI PTK SESI 2 (OGOS 2009)

Jika direnung-renungkanbanyak perkara yang tersurat pelaksanaannya pada bulan Ogos ini. Apa tidaknya sambutan Ramadhan tinggal sehari sahaja lagi iaitu pada 22 Ogos, hujung bulan Ogos nanti sambutan Hari Merdeka Malaysia. Ada satu lagi peristiwa yang akan berlaku dalam bulan Ogos ini yang boleh menyebabkan sebahagian golongan pendidik ' kembung perut' dibuatnya.:)
Tidak lain tidak bukan ialah PEPERIKSAAN PTK SESI 2 yang akan berlangsung dari 25 Ogos - 27 Ogos 2009 nanti. Jadual peperiksaan tersebut ialah :
a.Golongan pendidik DGA 29 dan DG 44 pada 25 Ogos 2009
b.Golongan pendidik DGA 32 pada 26 Ogos 2009
c.Golongan pendidik DG 41 pada 27 Ogos 2009

Maka bermulalah sessi ulangkaji untuk menduduki PTK yang dijadualkan tersebut. Alhamdullilah bulan puasa,insyallah banyak masa untuk mengulangkaji .Contohnya, selepas waktu sahur.Betul tidak,cikgu-cikgu.Sempat, tak sempat tak tau la.:)

PTK kali ini mungkin banyak dugaan apa tidaknya,cuti sekolah bulan Ogos, ramai perantau hendak '2 in 1' balik kampung untuk habis masa cuti sambil berbuka puasa bersama emak ayah , ramai kenalan akan hendak ambil kesempatan ini untuk beli baju raya anak-anak.Kelas tambahan untuk UPSR tetap dijalankan.Cikgu-cikgu nak study untuk PTK, terutama yang baru pertama kali ambil dan yang dah berkali-kali ambil tak lulus.hehehe.Jangan marah.

Cuba kita intai-intai,kenapa ada PTK ini ya? Jom kita cari yang tersirat di sebaliknya...

Jadi,apa perancangan yang sesuai untuk mudah lulus PTK? Cikgu-cikgu sudah study ke belum?

SELAMAT MENGHADAPI PTK SESI 2...SEMOGA BERJAYA ...AMIN

Selasa, Ogos 18, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 13 : TAHNIAH DI ATAS KONVOKESYEN KALIAN


Alhamdullilah pada minggu lepas dua orang daripada guru-guru SK Nuri telah menghadiri Majlis Konvoksyen masing-masing. Warga SK Nuri mengucapkan TAHNIAH kepada kedua-dua graduan tersebut. Graduan-graduan tersebut ialah Pn Norzrah Ishak yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera(Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang.

Seorang lagi guru SK Nuri yang juga merupakan graduan pada minggu lepas ialah Pn Huda Zayani Adam.Beliau telah menerima Master in Public Administration dari Universiti Malaya,Kuala Lumpur.


Tahniah dan syabas kepada kedua-dua orang guru ini. Semoga mereka ini dijadikan pemangkin motivasi kepada anak-anak mereka dan juga pelajar-pelajar SK Nuri untuk terus belajar.Tiada yang mustahil di dalam hidup ini.BELAJAR TUGAS SEPANJANG HAYAT.




Isnin, Ogos 17, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 12 : SEMOGA SEMAKIN BANYAK 'BUNGA-BUNGA' DI SKN MENGHARUMKAN KEPUTUSAN USPR 2009


Tahniah dan syabas untuk mereka ini.Inilah wajah-wajah murid Tahun 6 yang telah mendapat keputusan 5A di dalam Peperiksaan Pra UPSR yang lalu. Semoga kejayaan mereka ini berkekalan hingga UPSR sebenar nanti.
Kepada murid yang lain, usah putus asa dan menyerah kalah.Saya begitu yakin dan percaya ramai lagi yang boleh mencapai kejayaan yang sebegini pada UPSR yang sebenar nanti.
Masih ada masa lagi untuk 'speeding',tiada yang mustahil. Tingkatkan usaha,ikhtiar dan doa.
Wahai putera-puteri SK Nuri, seluruh warga SKN mendoakan kejayaan kamu semua di dalam UPSR nanti.Amin.

Sabtu, Ogos 15, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 11 : Segala-galanya adalah ketentuan takdir qadar dan qadak Allah.

Hari genap seminggu saya bercuti kerana menghidap sakit mata dan demam. Rasa tidak puas kerana tidak ke sekolah. Pelbagai andaian yang berlegar di fikiran saya. Saya cuba membayangkan gelagat anak-anak murid kelas 5 Bestari, apabila ternampak guru relief yang masuk pada waktu Sains mereka. Pasti ada yang tertanya-tanya mana perginya saya.Tak kurang jugak pasti ada yang tersenyum lebar bila tidak nampak kelibat saya. (Jangan nakal-nakal tau)
Hati saya bertambah risau bila terkenangkan wajah-wajah murid-murid kesayangan saya di kelas 6 Bestari yang tertunggu-tunggu guru Sainsnya untuk memeriksa latihan ulangkaji yang dibuat.Maafkan saya semua.InsyaAllah.Saya akan cuba 'qadak' kelas saya yang tertinggal ini. Memang saya rasa,saya berhutang dengan murid-murid Tahun 6 saya ini.Sama-samalah doakan saya cepat sembuh ya.
Sejak seminggu tidak sihat ini, sudah dua kali saya mengulangi rawatan di klinik kesihatan Melekai. Pada kunjungan kali kedua itu, ada sesuatu insiden atau bual bicara yang telah mencuit hati kecil saya,sebagai seorang ibu, guru dan hamba Tuhan.
Diringkaskan,bual bicara itu mengenai keluh seorang ibu yang menceritakan kerenah guru anaknya yang tidak mahu bersalam dengan semua murid di dalam kelas anaknya kerana kononnya bimbang dijangkiti H1N1 daripada murid-murid tersebut.Suaranya yang agak lantang membuatkan saya yang duduk agak jauh darinya turut kedengaran keluhannya yang berbau tidak puas hati itu.
Saya yang mendengar dari sisi corong telinga ini,tertanya-tanya juga...siapa gerangan anak ibu muda ini dan siapa pula gerangan guru yang dimaksudkan.
Keluhan ibu muda itu kemudiannya disampuk oleh pesakit lain yang sedang menunggu giliran pesakit dengan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan untuk ditujukan kepada seorang yang bergelar guru.
Hati saya mula berdetik rasa kurang enak dan 'pelik' dengan kejadian itu.Saya berpendapat tindakan ketiga-tiga orang yang terlibat di dalam insiden itu tidak sepatutnya berlaku.Mereka ialah ibu muda itu, pesakit lain dan guru anak ibu muda itu.Anak ibu muda itu tidak sepatutnya dipersalahkan kerana anak-anak bersifat neutral atau 'tranparent'.
Tindakan ibu muda itu yang meluahkan perasaan tidak puas hati di khalayak ramai adalah satu tindakan yang tidak kena pada tempatnya.Adalah lebih baik,beliau ke sekolah dan berjumpa dengan pihak pentadbir sekolah anak beliau untuk mengetahui kedudukan sebenar cerita anaknya.Renungkanlah.....
Tindakan pesakit lain yang menyampuk seolah-olah batu api kepada ibu muda tadi juga merupakan satu tindakan yang melulu tanpa tahu kedudukan cerita sebenar kejadian tersebut.Tambahan pula, beliau turut melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya ditujukan kepada seseorang bertitle guru yang pernah memberi ilmu kepada beliau dan anak-anak beliau atau masyarakat beliau suatu masa dulu mahupun masa kini.Renungkanlah.....
Tindakan guru anak ibu muda itu juga merupakan satu tindakan yang kurang bijak.Maaf saya katakan sebegini.Memang betul,H1N1 merupakan penyakit yang sukar dijangkakan jangkitannya.Tapi sebagai seorang guru adalah lebih manis jika kita memberi alasan yang lebih berhemah dengan kata-kata memujuk kepada murid-murid kita. Memang kita perlu mengelakkan atau mengambil langkah-langkah pencegahan untuk penyakit ini. Namun kita diberi pendedahan bagaimana untuk mengawal jangkitan ini.Umpamanya,cuci tangan selepas bersentuhan dengan objek atau sesiapa yang meragukan kebersihan serta kesihatan diri mereka.Hikmah yang saya kesan dari kejadian ini ialah saya dapati murid sangat memandang mulia pada guru.Sebab itu lah agaknya mereka rasa terkilan tidak dapat bersalaman dengan cikgu mereka.Cikgu anak ibu muda itu tadi,beruntung kerana beliau merupakan cikgu kesayangan murid-muridnya.Renungkanlah....
Cuba lah kita sama-sama renungkan hikmah atau pengajaran yang tersirat dari insiden ini.
Pesan saya untuk pengawasan H1N1...marilah kita amalkan gaya hidup sihat dan jaga kebersihan diri dalam usaha mencegah wabak H1N1 ini.Dapatkan rawatan segera jika ada tanda-tanda jangkitan.
Segala-galanya adalah ketentuan takdir qadar dan qadak Allah. Kita hanya mampu berusaha. Semoga kita semua dilindungi dari wabak ini dan semoga wabak ini akan cepat ghaib dari kehidupan masyarakat Malaysia seterusnya masyarakat global. Amin.

Khamis, Ogos 13, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 10 : TERTUBUHNYA KELAB PSS SK NURI

Pertama sekali syukur alhamdullillah kerana akhirnya tertubuh Kelab PSS di SK Nuri di bawah naungan Ko Kurikulum. Sebulan yang lalu, saya selaku penyelaras PSS SK Nuri telah mengemukakan surat permohonan untuk penubuhan kelab ini. Walaupun pada mata kasarnya,ianya melibatkan pembaziran ahlinya di kelab-kelab ko kurikululm yang lain. Tetapi apabila diteliti dengan pandangan yang jauh ada yang tersirat di sebalik penubuhan ini.
Yang nyatanya,ahli-ahli pengawas PSS akan lebih memahami tuntutan tanggungjawab mereka sebagai pengawas PSS dan pastinya kerja-kerja sirkulasi dan automasi serta keceriaan PSS akan dapat ditingkatkan melalui penubuhan Kelab PSS ini.
Tanggal 10 Ogos 2009 dengan bantuan Guru Pembantu Perpustakaan iaitu Cikgu Ruziana maka tertubuhlah Kelab PSS dengan rasminya. Mesyuarat Agung kelab ini telahpun diadakan pada masa yang sama. Mesyuarat tersebut telah bersepakat melantik Mohd Haikal B Halim sebagai pengerusi kelab ini bagi tahun 2010 kelak.
Semoga penubuhan kelab ini memberi wajah baru kepada PSS SK Nuri dan akan menjadi satu lagi abiliti yang dimiliki oleh PSS SK Nuri untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 9; SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA

Tahukah anda apa yang tersirat di sebalik peristiwa Sambutan Hari Wanita Sedunia pada 08 Ogos setiap tahun ?

Sebenarnya, Hari Wanita Kebangsaan merupakan satu cuti umum di Afrika Selatan pada 9 Ogos. Ini memperingatkan tentang perarakan kebangsaan kaum wanita pada hari ini tahun 1956 yang bertujuan untuk membuat rayuan membantah perundangan yang mewajibkan kaum Afrika untuk membawa "pas", dokumen pengenalan istimewa yang mengehadkan kebebasan bergerak untuk seseorang yang berbangsa Afrika semasa zaman aparteid.

Pada 9 Ogos 1956, seramai 20 000 orang wanita mengadakan sesuatu perarakan di sekitar Union Buildings di Pretoria untuk membantah penggubalan yang dicadangkan kepada Akta Kawasan Urban (biasanya dikenali sebagai pass laws) pada tahun 1950. Mereka meninggalkan sebilangan rayuan yang mengandungi lebih daripada 100 000 tandatangan pada pintu pejabat Perdana Menteri J.G. Strijdom.

Mereka berada di luar dengan senyap selama 30 minit, kebanyakan daripada mereka membawa anak-anak mereka pada belakang tubuh mereka. Ini termasuklah para pengasuh kanak-kanak yang turut membawa anak majikan kulit putih mereka. Para kaum wanita menyanyikan sebuah lagu bantahan yang ditulis untuk peristiwa itu: Wathint’Abafazi Wathint’imbokodo! (Sekarang anda telah menyentuh wanita, anda telah memukul batu.). Pada 50 tahun yang lalu, sejak peristiwa itu, frasa (atau yang terbaru: "anda pukul seorang wanita, anda pukul sebuah batu") telah melambangkan keberanian dan kekuatan kaum wanita di Afrika Selatan.

Perarakan ini diketuai oleh Lilian Ngoyi, Helen Joseph, Rahima Moosa, dan Sophia Williams-De Bruyn.

Sejak tahun 1994, tarikh 9 Ogos ditetapkan sebagai Hari Wanita di Afrika Selatan. Pada tahun 2006 sebuah enakmen semula perarakan ini dijalankan untuk ulang tahun ke-50nya, dengan kehadiran banyak veteran perarakan 1956.

Di Malysia kita pula, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 seperti berikut :

Tarikh : 25 Ogos 2009 (Selasa)

Tempat : Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Perasmian : 5.30 petang - 8.00 malam

Perasmian majlis ini akan disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan jualan akan diadakan di sekitar Pusat Konvensyen bermula dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Selain dari itu Majlis Berbuka Puasa bersama-sama YAB Perdana Menteri turut diadakan.

Apa yang hendak dikongsikan di sini ialah apakah peranan seorang wanita sebenarnya dalam kehidupan seorang anak. seorang suami, dalam sebuah keluarga,dalam sebuah organisasi,sebuah masyarakat,sebuah bangsa,sebuah negara dan peranannya dalam global? Apapun peranannya yang penting ialah niat yang tersirat dalam diri wanita itu sendiri.Tidak disangkal wanita memang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia,kalau tidak masa kan terdapat bijak pandai berkata," Wanita yang menghayun buaian,mampu mengoncangkan dunia." Renung-renungkanlah apa yang tersirat di sebalik ini semua...



Selasa, Ogos 11, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 8 ; SEMOGA `KAK LONG' SABAR DAN TABAH


Sebentar tadi, hati saya terpukul apabila membaca sms dari rakan seperjuangan yang baru sahaja mengajar di SK Nuri ini. Beliau merupakan guru J-Qaf yang baru berpindah ke SKN menggantikan Uztazah Hafizah yg bertukar ke Perak.
Beliau yang saya maksudkan ialah Uztazah Maziah Ramli atau lebih famous dengan panggilan manjanya 'kak long'. Hari ini genaplah seminggu Kak Long ditahan di Hospital KPJ,Seremban kerana mini strok yang beliau alami. Saya,Uztazah Ruziana dan Cikgu Hasrinah telah berkesempatan menziarahi beliau Khamis lalu, walaupun agak risau jugak dengan penularan wabak H1N1 namun kami pasrah pada Allah.
Hati kami sebak memandang keadaan Kak Long,namun hati kecil saya kagum dengan ketabahan yang dimiliki oleh Kak Long. Pada usianya yang masih muda di awal 30an beliau telah disahkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi dan terpaksa menjalani rawatan hemodilisis sebanyak 3 kali seminggu selepas ini kerana kedua-dua buah pinggangnya telah rosak.
Hari ini juga , tadi Pn Suriyati dan Uztazah Aida telah pun menziarahi beliau di hospital yang sama. Saya dimaklumkan beliau akan dibenarkan keluar wad esok dan diberi cuti sakit selama sebulan. Saya dan warga SK Nuri berharap agar Kak Long cepat sembuh. Rasa seperti belum pun puas kami beramah mesra dengan beliau. Kak Long memang terkenal dengan cakapnya yang lembut dan bersahaja serta pandai berlawak. Kami semua merindui keletah Kelate Kak Long.
Mari kita sama-sama renungkan ikhtibar yang tersirat dari peristiwa ini yg tersurat ini. Kalau sudah suratan takdir , tak kurang seminit atau pun terlebih seminit takdir Allah pada kita.Walaupun pada usia yang masih muda,asal Allah berkehendakkan ,"kun fa ya kun" maka pasti janjinya akan terlaksana. Oleh itu, kita perlulah mohon perlindungan dariNya selalu. Jika tersurat dugaan yang sebegini pada kita, terima lah ia sebagai satu ujian dariNya. Dia uji kita kerana Dia tahu kita mampu hadapi ujian yang diuji pada kita. Yang paling penting kita kena tahu Dia uji kita kerana Dia sayang kita.

Isnin, Ogos 10, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 7; WABAK @ DUGAAN @ BALA ?

swineSelesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Virus Ini Berjangkit?

CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.

Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?

Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.

Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?

Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.

Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?

Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

* Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

1. Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

2. Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

3. Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.

Jika anda sakit anda perlu:-

1. Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;

2. Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Ahad, Ogos 09, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 6 : LDP -TEAM BUILDING

Pada 08 Ogos 2009, Unit LDP SKN telah berjaya menganjurkan sebuah lagi LDP yang bertajuk 'Team Building' kepada semua guru SK Nuri dengan jayanya. Penceramah jemputan pada kali ini ialah En. Muhammad Rosli B Abdul Muhim yang merupakan nazir dari Jemaah Nazir Jaminan dan Kualiti JPNS.
LDP ini bermula jam 8.00 pagi dengan pendedahan tentang 'Team Building' yang patut dijadikan amalan dalam kita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru bagi memastikan kecemerlangan anak didik dan sekolah kita.
Pada Slot kedua pula iaitu selepas kudapan,merupakan slot perbengkelan di dalam kumpulan dan kemudiannya dibentangkan oleh wakil kumpulan masing-masing. Di akhir pembentangan kumpulan ini, En Muhammad Rosli telah membuat rumusan hasil pembentangan tersebut.
LDP ini telah berakhir pada jam 1.00 petang dengan makan tengahari.
Tahniah kepada guru-guru yang telah berjaya menghadirkan diri ke majlis yang sebegini. Diharapkan guru-guru telah dapat manfaat melalui LDP ini, dan cubalah kita renung-renungkan apa tersirat di dalam LDP ini....moga ianya menjadi sempadan dan manfaat kepada kita.

Jumaat, Ogos 07, 2009

PENGREDAN PSS 2009

Alhamdullilah,pada 6 Ogos 2009 bersamaan hari Khamis PSS SK Nuri telah dikunjungi oleh En Mohd Ghazali B Che Man bagi tujuan pemantauan Pengredan PSS 2009. Secara keseluruhan , beliau berpuas hati dengan transformasi yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Kerja PSS. Beliau kagum dan mengucapkan tahniah kepada warga kerja Unit PSS. Beliau yakin, hasil yang dipantau oleh beliau pada hari ini adalah merupakan kerja keras dan menuntut pengorbanan yang besar daripada warga kerja Unit PSS. Beliau berharap komitmen yang sebegini diteruskan dan akan menjadikan PSS SK Nuri semakin berinformasi dan cemerlang.
Kepada beliau, kami mengucapkan terima kasih. Apa jua yang kami perolehi hari ini merupakan hasil input yang kami dapat daripada tunjuk ajar pegawai-pegawai dari PKG juga khasnya PKG Johol.
Kepada semua warga SK Nuri khasnya warga kerja Unit PSS, saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan kepada saya dalam menguruskan PSS sekolah kita. Tanpa anda, tiadalah mampu saya memikul tanggungjawab ini.

Rabu, Ogos 05, 2009

TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT 5 - SENANTIASA BERSEDIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails