SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

PSSKU CEMERLANG, SEKOLAHKU GEMILANG....PSS SK NURI MENYEMAI DAN MENYUBURKAN ILMU DI MANA JUA ANDA BERADA.

KALAM PENTADBIR SEKOLAH: PN HJH. HAMIJAH BT HASSIM

Assalamualaikum w.b.t… Pusat Sumber merupakan nadi sesebuah sekolah yang berperanan membantu semua murid & semua guru menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar tidak hanya bergantung kepada buku teks dan kaedah tradisional sahaja di zaman era digital kini dengan perkembangan Literasi Maklumat yang begitu meluas. Perkembangan Literasi Maklumat ini bukan saja di dalam bilik darjah tetapi di empat penjuru kawasan sekolah selaras dengan keperluan NKRA dan KPM. Akhir kalam, semoga semua pihak yang melayari blog ini akan memperolehi info perkembangan terkini PSS SK Nuri dan perkongsian ilmu.TAHNIAH! kerana berjaya menjadi Johan Pusat Sumber Cemerlang Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2009, 2010 dan 2011 . Semoga Pusat Sumber SK Nuri terus melakar kegemilangannya. Sekian, wassalam .

Isnin, Ogos 31, 2009

Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat 30 : Tunku bertaruh nyawa tuntut kemerdekaan



Mungkin ramai tidak tahu mengenai keberanian perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj mempertaruh nyawanya ketika beliau sibuk berkempen untuk menuntut kemerdekaan negara.

Menurut anak lelaki tunggalnya, Tunku Datuk Seri Ahmad Nerang Putra, kebanyakan orang Inggeris tidak menyukai bapanya, kerana kelantangan Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan negara. Almarhum Tunku Abdul Rahman menceritakan kepada anaknya mengenai satu insiden pada tahun 1954 yang membawa kebimbangan mengenai keselamatan nyawanya.

Ketika itu Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai anggota Majlis Undangan Persekutuan dan memegang portfolio Hal Ehwal Pengangkutan. Dalam satu tugas rasminya Tunku Abdul Rahman terpaksa membuat rondaan udara dan beliau berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur Flying Club.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila melihat hanya satu beg payung terjun disediakan di dalam pesawat Beaver itu sedangkan mereka dua orang, Tunku Abdul Rahman dan juru terbang tentera British itu.

Katanya, ketika di dalam penerbangan, juru terbang itu secara serius bertanyakan banyak soalan mengenai kedudukan British di Malaya selepas kemerdekaan dan mahu Tunku Abdul Rahman memberi jaminan tidak akan mengusir semua orang British di Malaya.

“Tunku (Abdul Rahman) menjawab dengan bijak dan memberi jaminan bahawa Malaya masih memerlukan tentera British, walaupun selepas merdeka, terutama untuk mengatasi masalah komunis dan jaminan Tunku telah menenangkan juru terbang British itu,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Beliau berkata, selepas pesawat itu selamat mendarat, Tunku Abdul Rahman memberitahunya ada kemungkinan juru terbang itu keluar dari pesawat dengan payung terjun dan membiarkan bekas perdana menteri itu di dalamnya, sebelum terjunam jika almarhum tidak memberikan jaminan yang diminta.

Tunku Ahmad Nerang yang kini berusia 76 tahun, dan menetap di Kuala Lumpur, menceritakan satu peristiwa lagi ketika beliau menjadi pemandu Tunku Abdul Rahman untuk berkempen dan bertemu rakyat di kawasan merah iaitu di Tanjung Malim Perak, Kuala Kubu Bharu di Selangor dan Raub di Pahang pada tahun 1954.

Katanya, almarhum duduk di sebelahnya, sementara di belakang mereka ialah Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. “Jalan raya ketika itu sangat sempit dan beberapa buah kereta perisai menyertai rombongan bagi mengawal keselamatan dan saya memandu begitu dekat mengekori kereta perisai di hadapan,” kata beliau.

Setibanya di sebuah rumah rehat di Raub, seorang pegawai polis menemui mereka dan memberitahu Tunku Ahmad Nerang bahawa adalah berbahaya bagi mereka jika memandu terlalu hampir dengan kereta perisai.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya ketika itu terus menjawab: “Saya tidak perlukan kawalan, mereka yang di belakang saya (Khir Johari dan Jaafar Albar) sudah memadai.”

Selepas menyambung semula perjalanan, Tunku Abdul Rahman memberitahu mereka yang di dalam kereta itu bahawa beliau telah menerima surat daripada Chin Peng (pemimpin Parti Komunis Malaya) yang memberi jaminan keselamatannya dan menyokong perjuangan beliau untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Tunku Abdul Rahman malah pernah meminta supaya polis dan tentera British tidak mengawal keselamatannya semasa beliau berkempen ke kawasan komunis di Johor, kerana bimbang kehadiran polis ketika beliau memasuki kawasan-kawasan merah, boleh mengancam nyawanya.

Tunku Ahmad Nerang berkata, sebagai membalas jaminan keselamatan itu, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan pula terhadap keselamatan Chin Peng ketika rundingan Baling tahun 1956.

Ketika zaman prakemerdekaan, menaiki kereta api adalah berbahaya, tetapi ini tidak menakutkan Tunku Abdul Rahman.

Tunku Ahmad Nerang menceritakan bagaimana semasa beliau menemani bapanya untuk berkempen dan bermesyuarat dengan menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Butterworth, berlaku satu peristiwa yang mencemaskan.

“Kereta api kami terpaksa berhenti di stesen Jalan Tapah kerana landasan kereta api di Tanjung Malim telah disabotaj komunis dan disebabkan itu kami terpaksa bermalam di dalam kereta api,” kata beliau.

Keesokan paginya barulah mereka sedar bahawa kereta api yang mereka naiki membawa ramai tentera British dan kereta api itu hampir diserang komunis. Tunku Abdul Rahman menerima sepucuk surat daripada Chin Peng yang memohon maaf atas kesukaran yang berlaku kerana tidak tahu beliau berada di dalam kereta api itu.

Kerana terlalu sibuk bekerja siang dan malam, Tunku Abdul Rahman diserang sakit paru-paru (pneumonia) dan mendapatkan rawatan di Hospital Bangsar di Kuala Lumpur.

“Satu peristiwa saya saksikan di hadapan mata ialah seorang jururawat kacukan Inggeris memberi suntikan kepada Tunku dan kemudian jururawat itu tergesa-gesa keluar, membiarkan sahaja jarum suntikan itu tercacak di punggung Tunku.

“Syukurlah Tunku sendiri mengeluarkan jarum itu dari punggungnya dan kami terus beredar. Begitulah Tunku tidak popular dalam kalangan orang Inggeris kerana kelantangannya menuntut kemerdekaan negara,” kata beliau.

Bagaimanapun, doktor yang merawat Tunku Abdul Rahman ialah rakyat tempatan, bernama Dr Latiff dan satu daripada jalan di Hospital Kuala Lumpur itu dinamakan Persiaran Dr Latiff.

Tunku Ahmad Nerang berkata, bapanya bekerja dan berkempen tanpa mengira hujan dan panas. Dalam satu peristiwa, kereta Tunku Abdul Rahman terbenam di dalam lumpur, kerana banjir di Johor Baharu pada tahun 1954.

“Ketika itu terdapat budak-budak Melayu yang bersedia untuk menolak kereta dan meminta upah. Tunku memberi upah satu ringgit tetapi apabila mereka mengetahui kereta yang ditolak itu dinaiki Tunku, mereka tidak mahu mengambil upah,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Dua buah kereta lain yang terbenam dan dinaiki Syed Esa Almashoor dan Syed Abdullah Alsagoff, turut ditolak oleh kanak-kanak itu, dan mereka dikenakan bayaran 20 sen setiap seorang. Begitu juga peristiwa ketika Tunku Abdul Rahman hendak bertemu rakyat dalam kempen menuntut kemerdekaan di Kangar pada tahun yang sama.

“Ketika kami hendak keluar dari rumah di Alor Setar, hujan turun dengan begitu lebat dan sebaik saja hujan reda, saya memandu kereta agak laju di jalan yang basah kerana Tunku tidak suka orang menunggu lama kehadirannya.

“Kereta kami terbabas dan memasuki longkang di hadapan Kem Askar Melayu di Kepala Batas. Pengawal tentera di situ mengecam Tunku, dan meminta rakan tenteranya membantu menaikkan semula kereta, selepas itu kami meneruskan perjalanan dengan kereta yang rosak teruk,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Pada satu hari dalam tahun 1955 di Johor, Tunku Ahmad Nerang membawa bapanya berkempen seharian dari Johor Baharu ke Muar dan ke Batu Pahat, menemui orang dari kampung ke kampung, menaiki feri, melintasi sungai. Mereka berdua tiba di rumah di Johor Baharu pada lewat tengah malam dalam keadaan terlalu letih dan kelaparan kerana tidak makan.

“Kami berdua terlalu letih dan lapar dan setiba di rumah tiada makanan pula kerana semua orang dalam rumah telah tidur. Saya terjumpa sebiji telur di dalam peti sejuk dan kemudian merebus telur itu.

“Saya mengetuk pintu bilik Tunku dan bertanya adakah beliau mahu makan telur rebus itu, tetapi dengan linangan air mata, Tunku memegang kepala saya dan menyuruh saya memakannya,” kata Tunku Ahmad Nerang.

Katanya, selepas beberapa hari kemudian, beliau berlepas ke Bombay, India bagi melanjutkan pengajian di Indian Military College. “Apabila saya tiba di Bombay, saya terbaca akhbar Indian Times mengenai kemenangan Parti Perikatan di Malaya dan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya,” kata Tunku Ahmad Nerang. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails