SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

PSSKU CEMERLANG, SEKOLAHKU GEMILANG....PSS SK NURI MENYEMAI DAN MENYUBURKAN ILMU DI MANA JUA ANDA BERADA.

KALAM PENTADBIR SEKOLAH: PN HJH. HAMIJAH BT HASSIM

Assalamualaikum w.b.t… Pusat Sumber merupakan nadi sesebuah sekolah yang berperanan membantu semua murid & semua guru menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar tidak hanya bergantung kepada buku teks dan kaedah tradisional sahaja di zaman era digital kini dengan perkembangan Literasi Maklumat yang begitu meluas. Perkembangan Literasi Maklumat ini bukan saja di dalam bilik darjah tetapi di empat penjuru kawasan sekolah selaras dengan keperluan NKRA dan KPM. Akhir kalam, semoga semua pihak yang melayari blog ini akan memperolehi info perkembangan terkini PSS SK Nuri dan perkongsian ilmu.TAHNIAH! kerana berjaya menjadi Johan Pusat Sumber Cemerlang Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2009, 2010 dan 2011 . Semoga Pusat Sumber SK Nuri terus melakar kegemilangannya. Sekian, wassalam .

Isnin, Mei 16, 2011

16 Mei : Tarikh Keramat Seorang Guru - SELAMAT HARI GURU, CIKGU


Puisi : Guru Oh Guru

(SN Usman Awang)

Berburu ke Padang Datar
dapat rusa belang kaki
berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

Guru Oh Guru ..................
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan ;

Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang
Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru
yang diselenggarakan oleh Zam Ismail
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),

Kuala Lumpur, 1989.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails