Orang kata jangan menilai sebuah kandungan buku itu berdasarkan kulitnya. Maka, mengambil pepatah itulah, saya menyedari buku yang telah selesai hampir 5 kali saya baca , menepati maksud betapa sebuah buku yang baik hanya bergantung kepada kandungannya.
Kalaulah diperhatikan wanita yang asyik mengelamun di danau itu (berdasarkan gambar kulit), mati-mati saya tak akan beli, kerana saya benci betul novel cintan cintun yang tidak berkesudahan. Bukan setakat novel melayu sahaja, novel inggeris pun begitu juga.
Antara memoir yang saya paling ingat ialah kisah seorang guru dengan murid yang membela seekor beruk..Terkenang kembali waktu saya menerima latihan perguruan di maktab dahulu, cerpen Cikgu Sunan dan Beruk ini dibacakan di hadapan semua pelatih guru.
Maka, sayugianya ramai pula yang menitiskan air mata kerana terharunya akan ceritanya.
Pernahkah kalian membaca cerpen itu?
Memoir Seorang Guru, ialah sebuah buku memoir. Kisah hidup pahit manis seorang guru. Ya, dalamnya tertulis panjang lagi kisah seorang guru. Kisah pahit getir bagaimana seorang guru yang mendidik dan mengajar anak bangsanya.
Membacanya seolah seperti melihat cermin diri saya sendiri. Hanya seorang guru yang mengerti dunia seorang guru. Mungkin kerana kepenatan menjadi seorang guru, watak utama itu terlalu patah hati dengan dunia pendidikan sehingga tidak membenarkan anak perempuannya sendiri memasuki dunia pendidikan. Ia kisah seorang ustaz yang berperang dengan kekeliruan perasaan dalam hatinya yang sudah kematu. Barangkali, terumbang ambing dengan kisah-kisah anak muridnya satu persatu.
Kisahnya dengan anak muridnya yang bernama Abdul Halim, Sakinah, Midun dan Alias yang telah banyak mewarnai memoir hidupnya seorang guru. Barangkali, dia memikirkan dia bukan seorang guru yang baik. Tetapi, masyaallah, betapa besarnya jasa guru sehingga masih dikenang oleh anak didik yang berbekas di hatinya.
Cerita-cerita yang disirat jalinkan sangat mencengkam perasaan. Hiba, pilu, marah, benci bercampur gaul, namun akhirnya pada akhir bab ini, lahirlah perasaan kasih sayang terhadap watak-watak yang sangat realis dalam novel ini.
Apatah lagi, novel ini hasil tulisan Azizi Abdullah, yang juga kerjaya dahulunya seorang guru agama. Maka, mungkin, coretan dan cebisan kisah novel ini, adalah nukilan yang dilhamkan daripada sumber pertama. Pengalaman hidup seorang guru yang real yang telah mewarnai watak-watak cerita ini dengan baik.
Tuntasnya, carilah buku ini. Dan, bacalah dengan sepenuh jiwa dengan setulus ikhlas dirimu. Mungkin kalian yang seorang perdana menteri, kerani, peguam, doktor atau sesiapa sahaja mampu bergetar jiwanya, merasai betapa besarnya jasa seorang guru.
Anda akan merasa kata-kata keras, di sebalik kemanjaan murid. Anda akan menemui kekasaran di sebalik lemah lembut murid. Tetapi diakhirnya anda akan temui dialah yang memiliki kasih sayang melalui doa dan harapan, sehingga anda akan mengalir air mata dan berkata; begitukah guru kami.
Disyorkan, semua guru dan para pelajar dapat membaca novel keluaran alaf 21 ini. saya mengesyorkan semua memiliki dan membacanya kerana di situ terhimpun kasih sayangnya dan kejayaan murid-muridnya dalam bidang kerani, jururawat, doktor, peniaga, penternak, petani, peguam, majestrit dan korporat.Itulah doa dan jasa seorang guru. Anda akan membaca pada akhir novel ini bersama lelehan air mata kerana bangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan